Apa Itu Akhlaq

0
33

APA ITU AKHLAK

Prof. Dr. H. Muh. Yusuf Khalid

Akhlak menurut Maskawaih ialah keadaan jiwa yang mengajak baginya untuk melakukan suatu perbuatan tanpa memerlukan pemikiran.

Keadaan jiwa ini terbagi kepada dua bahagian;

Pertama: akhlak berbentuk semula jadi mengikut tabiat seseorang, seperti orang yang marah kerana sebab yang kecil, atau ketawa berlebihan kerana satu perkara kecil yang diminatinya, atau mudah risau kerana perkara remeh

Kedua: akhlak didapati menerusi kebiasaan dan latihan, boleh jadi pada peringkat awalnya memerlukan pemikiran kemudian berterusan sehingga menjadi akhlak.

Akhlak menurut takrif di atas ada dua jenis, ada yang dimiliki sejak lahir dan ada juga yang didapati menerusi latihan dan kebiasaan.

Di sini pentingnya pendidikan kerana melalui pendidikan seseorang dapat mengembangkan dan meningkatkan kualiti akhlaknya.

Melalui pendidikan seseorang dapat menukar akhlak buruk dengan akhlak mulia, melalui pendidikan seseorang dapat membuang akhlak buruk yang dimilikinya sejak lahir dan menggantikannya dengan akhlak mulia.

Menurut takrif akhlak di atas juga, akhlak adalah keadaan jiwa yang menyeru baginya untuk melakukan sesuatu perbuatan sama ada baik atau buruk tanpa memerlukan pemikiran.

Ada yang diwarisi dan ada yang didapatkan menerusi kebiasaan dan latihan. Akhlak boleh dikekalkan, diperbaiki, ditiru dan juga boleh dibuang.

Jadi, akhlak tidak seperti warna kulit yang dimiliki seseorang sejak lahir hingga meninggal dunia.

Al-Qur’an menggunakan istilah nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah. Untuk membuang akhlak yang buruk (takhliyah) penyucian jiwa, seseorang mesti melawan nafsu ammarahnya.

Demikian juga jika seseorang mahu memiliki akhlak mulia (tahliyah) menghias jiwanya, maka dia mesti melawan nafsu ammarahnya sendiri. Proses ini dinamakan mujahah.

Jadi, untuk memiliki akhlak mulia adalah satu proses yang berterusan untuk mengekalkan akhlak mulia dan membuang akhlak buruk yang dinamakan sifat istiqamah dalam mujahadah (berterusan dalam melawan hawa nafsu).

Proses ini tidak berkesudahan kerana tabiat nafsu ammarah memang tugasnya mengarahkan manusia melakukan kejahatan.

وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.

Dalam membincangkan akhlak, nafsu ammarah inilah yang patut diberi perhatian, kerana dari nafsu inilah timbulnya pelbagai jenis kejahatan.

Jadi, pembahagian nafsu di dalam al-Qur’an kepada tiga jenis demikian juga pembahagiannya di kalangan ahli falsafah Barat kepada tiga bahagian iaitu nafs natiqah, nafs shahwiyyah dan nafs ghadabiyyah, membantu dan memudahkan untuk seseorang memiliki akhlak yang mulia dan menghindari akhlak yang buruk.

Tanpa pengetahuan mengenai tiga jenis nafsu ini menyukarkan seseorang untuk memiliki akhlak mulia dan menjauhi akhlak buruk, kerana tiga nafsu ini senantiasa bersaing antara satu sama lain untuk berkuasa dalam diri seorang individu.

Tanpa ilmu, hikmah atau falsafah maka sangat sukar untuk memilih nafsu yang mana lebih utama diberi peluang untuk berkuasa.

ddi abrad 1