Zikir Khafi

0
88

Prof. Dr. H. Muh. Yusuf Khalid

ZIKIR KHAFI

Zikir adalah antara ciri-ciri yang paling khas ilmu Tasawuf. Kalau mengikut pendapat imam al-Junaid seorang Muslim tidak patut lalai berzikir mengingat Allah sekalipun sekelip mata.

فاما الذكرالذي يستأثرالله بعلمه دون غيره فهو ما اعتقدته القلوب وطويت عليه الضمائر مما لا تحرك به الألسنة والجوارح وهو مثل الهيبة لله والتعظيم لله والإجلال لله واعتقاد الخوف من الله وذلك كله فيما بين العبد وربه لا يعلمه إلا من يعلم الغيب والدليل على ذلك قوله عز وجل ( يعلم ماتكن صدورهم وما يعلنون) القصص:69

Adapun zikir yang hanya Allah yang mengetahuinya adalah yang diyakini hati dan dilipat oleh naluri, lidah dan anggota badan tidak bergerak dengannya ia seperti kehebatan bagi Allah, kebesaran bagi Allah, keagungan bagi Allah dan berasa takut kepada Allah yang demikian itu semua terjadi antara hamba dengan Allah tidak diketahui kecuali yang mengetahui perkara gaib. (Rasail al-Junaid.2005:213)

Menurut imam al-Junaid mengingat kehebatan, keesaan dan keagungan Allah adalah zikir khafi yang tidak memerlukan pergerakan lidah dan anggota badan yang lain, dan ia hanya diketahui antara hamba dan Allah SWT. Sahaja.

Hanya imam al-Junaid menganggap ingatan ke atas keesasaan, kehebatan dan keagungan Allah sebagai zikir, dengan kata lain zikir yang tidak melibatkan perkataan tertentu cukup hanya lintasan makna-makna atau rasa kebesaran Allah SWT.

Di dalam hati sudah dikira sebagai zikir khafi. Dengan kata lain, bukan hanya zikir ini tidak memerlukan suara tetapi juga tidak memerlukan jenis perkataan atau ungkapan tertentu yang dapat ditulis, ia hanyalah satu bentuk perasaan. Hal ini adalah ilmu baharu bagi pengkaji.

Dalam ilmu Tasawuf memang ada dua jenis zikir iaitu zikir yang kuat dengan suara dan zikir yang senyap tanpa suara.

Menurut pengalaman mereka yang lama terlibat dalam bidang tarekat Tasawuf dua jenis zikir ini masing-masing mempunyai kelebihannya, zikir yang kuat dengan suara menyebabkan badan cergas, hilang rasa mengantuk dan dapat menghalau syaitan, zikir yang senyap tanpa suara pula kelebihannya dapat dengan cepat melembutkan hati yang keras, kerana antara tujuan asal zikir adalah untuk melembutkan hati secara ruhani bukan untuk melembutkan lidah fizikal yang memang sudah sedia lembut.

Oleh yang demikian ada tarekat Tasawuf yang menggabungkan antara dua jenis zikir ini iaitu zikir dengan suara yang kuat dengan nafi ithbat dan zikir senyap tanpa suara dengan zikir lafaz al-Jalalah untuk mendapatkan kebaikan dan kesan kedua-dua jenis zikir ini.

ddi abrad 1