Mendekat Kepada Allah SWT

0
55

Prof. Dr. H. Muh. Yusuf Khalid

MEREKA YANG MAHU MENDEKATI ALLAH SWT.

فكل من أراد أن يكون أهلا لمقصوده والوصول إلى قربه فينبغي له ان يراعي نفسه في مراعي القيام لله تعالى بطاعته على متابعة الكتاب والسنة من غير أن يفتر على ذكره وخدمته طرفة عين وأن يراعي روحه في مراعي لطائف الحضرات ود قائق الفكر على متابعة صدق الإرادات من غير أن يغفل عن هيبة اطلاع ربه عليه ودوام مراقبته طرفة عين.

Setiap orang yang mahukan kelayakan mendapatkan tujuan Allah dan dekat kepadaNya maka patut baginya menjaga dirinya dalam ketaatan kepada perintah Allah berpandukan kepada al-Qur’an dan Sunnah, tanpa berhenti berzikir dan berkhidmat kepadaNya sekelip mata, dan menjaga ruhnya dalam suasana kehalusan kehadiranNya, dan kehalusan pemikiran dalam mengikuti kebenaran kehendaknya tanpa lupa kehebatan pandangan tuhan kepadanya serta sentiasa mengawasiNya sekelip mata. (Rasail al-Junaid 2005:65-66).

Imam Abd Wahhab al-Sya’rani juga menggunakan istilah tarfat ‘ain (sekelip mata) ketika mentakrifkan istilah taubat yang tertinngi.

وأما نهايتها: فالتوبة كلما غفل عن شهود ربه طرفة عين

“Adapun peringkat tertinggi taubat adalah setiap kali dia terlupa menyaksikan (secara ruhani) tuhannya sekelip mata”. (al-Sya’rani. 2007)

Berbanding dengan ulama Sufi yang lain imam al-Junaid banyak menggunakan istilah tarfat ‘ain (sekelip mata), sebagai contoh;

“Tidak lalai daripada berzikir kepada Allah walau sekelip mata, atau tidak lalai daripada kesedaran terhadap pemerhatian Allah kepadanya walau sekelip mata”.

Secara zahirnya konsep ini mungkin dianggap melampau atau tidak sederhana kerana sekelip mata itu adalah satu masa yang sangat singkat dan pendek, tetapi kalau kita memahami tujuan sebenar imam al-Junaid menggunakan istilah ini mungkin kita tidak menganggapnya melampau.

Sebagai contoh lalai sekelip mata boleh membuka ruang untuk melakukan kesalahan atau dosa, lalai sekelip mata syaitan atau hawanafsu boleh mengambil peluang untuk menyesatkan atau menggoda.

Lalai sekelip mata boleh dianggap membazir masa kerana masa terbuang tanpa pengisian yang bermakna, sedangkan kehidupan di dunia ini sangat singkat, dan jika masa telah terbuang tidak ada cara untuk memilikinya lagi atau menggantikannya.

Barangkali itulah antara makna penggunaan istilah sekelip mata menurut imam al-Junaid.

Disini nampak jelas persamaan pendekatan atau teori imam al-Junaid dengan pandangan Ibn Ataillah al-Sakandari iaitu untuk menghampirkan diri kepada Allah hawanafsu mesti dikawal dan mendapat pendidikan yang baik serta banyak berzikir mengingati Allah SWT.

Mengawal hawanafsu dan zikir tidak dapat dipisahkan, dengan kata lain seseorang mendapat kekuatan keruhanian dalam mengawal hawanafsunya dari amalan berzikir.

ddi abrad 1