AG. Prof. Dr. H. A. Syamsul Bahri AG., Lc. MA.
MENYAMBUT BULAN SUCI RAMADAN DENGAN KEMANTAPAN IMAN
Bulan ramadhan adalah bulan suci umat Islam yang datang di setiap tahun. Ia merupakan anugerah Allah Azza wa jalla kepada umat Islam bagi memperbetulkan sikap dan iman mereka dalam berpegang teguh kepada pegangan ugama Islam yang tulen yang boleh menjadi sarana memperoleh rahmat dan hidayah Allah.
Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“ Sekiranya umatku mengetahui keutamaan yang ada dalam bulan ramadhan, pasti mereka berharap kiranya ramadhan itu berterusan sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat al-Daylamiy).
Maknanya sudah tentu tiada lagi orang Islam yang menyia-nyiakan masa dalam bulan ramadhan, tidak mempunyai persiapan yang baik dan kurang menghiraukan mengisi bulan ramadhan dengan mengisi berbagai ibadah dan kebajikan.
Antara persiapan yang patut menjadi perhatian umat Islam dalam memasuki bulan suci ramadhan ialah kemantapan iman.
Yang dimaksud dengan kemantapan iman disini ialah keyakinan yang kukuh akan kebenaran (haq) nilai-nilai ajaran agama yang telah diamanahkan oleh Rasulullah kepada umat baginda untuk dijadikan sebagai panduan hidup dalam dunia ini demi kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.
Dalam al-Qur’an al-Karim, Allah Subhanahu wata’ala telah menegaskan bahwa “agama yang haq hanyalah agama Islam” (Qur’an, surah Ali ‘Imran: 19).
Malah bagi mereka yang tersesat memilih pegangan ugama lain dan tidak diberi hidayah kembali kepada ugama fitrah (Islam) maka kelak di hari akhirat termasuk orang yang rugi (khasir).
Firman Allah dalam al-Qur’an, yang tafsirnya:
“Barang siapa yang memilih berpegang pada ugama bukan Islam, maka ia tertolak dan tidak diterima, serta kelak di hari akhirat termasuk orang yang rugi” (Qur’an, surah Ali ‘Imran: 85).
Ajaran ugama Islam yang sudah menjadi nilai muktamad perlu dijaga dan diamalkan oleh umat Islam, termasuklah apa yang terkandung dalam rukun Iman dan rukun Islam yang banyak berkaitan dengan ibadah dan aqidah.
Termasuk juga perkara yang berkaitan dengan hukum syarak seperti hukum hudud, qisas, dan ta’zir yang sudah dikaji secara mendalam oleh ulama mujtahid yang tidak boleh diragukan lagi kesahihannya kerana ia berasaskan kepada dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah mengikut panduan ulama Ahli Sunnah Waljama’ah.
Oleh yang demikian, hukuman (‘uqubah) rejam bagi pelaku dosa zina, potong tangan bagi pelaku dosa mencuri dan dera bagi mereka yang melakukan dosa minum arak dan lain-lain, orang yang beriman wajib meyakini kebenarannya sebagai bahagian dari ajaran ugama Islam yang masuk dalam kategori “ma ‘ulima mina din bi darurah” (yang telah dimaklumi kepastiannya).
Pemikiran-pemikiran yang ditimbulkan oleh mereka yang terpengaruh dengan pemikiran orientalis, liberalisme, sekularisme dan sebagainya perlu ditolak dan dianggap sebagai melanggar ajaran dan nilai Islam yang tulen yang dikenal pasti telah dimasukkan oleh ulama mu’tabar sebagai ajaran asas ugama Islam yang diwarisi daripada Rasulullah dan para sahabat Baginda.
Pandangan dan pemikiran akan undang-undang Islam sedemikian adalah keliru, dan sama sekali tidak berasas. Ia jelas bercanggah dengan kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah yang mendukung kewibawaan ulama sebagai pewaris para Anbiya’ dalam memahami dan mentafsir ayat-ayat dan hadis-hadis hukum.
Terlebih-lebih lagi jika ada orang yang mula membangkitkan semula pemikiran Khawarij yang anti hadis, hanya mahu berpegang kepada al-Qur’an sahaja. Dan ayat al-Qur’an itu pula difahami mengikut hawa nafsunya tanpa merujuk kepada disiplin ilmu al-Qur’an yang telah dirumus oleh ulama tafsir.
Setentunya orang seperti itu perlu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan mengikut acuan kefahaman Islam yang sebenar. Mereka yang cuba mempertikai ajaran asas ugama Islam yang dinyatakan di atas seyogyanya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah subahanahu wata’ala sebelum memasuki bulan suci ramadhan agar iman dan keyakinan ugama kita tidak terjejas dan hati (qalbu) kita menjadi tenteram dan merasa gembira menyambut kedatangan bulan suci ini dengan nawaitu yang tulus dan ikhlas untuk melaksanakan pelbagai amalan ibadah dan kebajikan dalam bulan tersebut.
Semoga Allah Subhanahu wata’ala mencucuri rahmat, taufiq dan maghfirah kepada umat Islam yang menyambut kedatangan bulan suci ramadhan dengan hati bersih dan niat yang tulus bagi mendapatkan keberkatan di bulan ramadhan ini.
Hasrat dan niat suci Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan yang diPertuan Negara Brunei Darussalan ingin menjadikan Negara ini sebagai Negara zikir yang mentatbiq undang-undang Islam adalah patut disyukuri dan direspon sepenuhnya oleh seluruh umat Islam dan penduduk di Negara ini, semoga niat mulia lagi suci ini, akan terserlah dan menjadikan kawasan kita ini diberkati oleh Allah Yang Maha Kuasa yang disebut dalam hadis Rasulullah sebagai “buq’atu mubarakah”. Malah ia boleh menjadi benteng penyelamat terhadap terjadinya pelbagai bencana dan gempa bumi yang sering terjadi di bumi akhir-akhir ini.
Rasulullah dan para sahabat Baginda telah memberi contoh yang baik dalam menyambut kedatangan bulan suci ramadhan, yaitu dengan memperbanyak istighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bermaaf-maafan dalam bersilaturahim sebelum memasuki bulan suci ramadhan sehingga keberkatan ramadhan tidak akan terhalang bagi seseorang muslim kerana dosa atau kesalahan yang pernah dilakukan.
Ini bermakna bahwa untuk menikmati kedatangan bulan suci Ramadhan setiap umat Islam perlu mengukuhkan keyakinan akan kesahihan pegangan agamanya di samping menyucikan hatinya dari perkara-perkara yang boleh mengotorinya, seperti sifat hasad dengki, ujub takabbur dan memandang rendah atau hina sesama manusia.
Inilah yang difahami oleh ulama dalam firman Allah (surah al-Syams: 9-10) tafsirnya: “ Sungguh beruntung bagi orang yang menyucikan hatinya, dan sungguh rugi atau celaka bagi mereka yang mengotori hatinya”.
Imam al-Khattabiy dalam kitabnya “Sya’nu al-du’a” menasihati umat Islam agar senantiasa mengukuhkan keyakinan dan imannya dan jangan mengikut hawa nafsu kerana hal sedemikian menyusahkan seseorang mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya.
Sebaliknya jika seseorang itu senantiasa memelihara imannya dan menyucikan dirinya maka sudah tentu akan mudah baginya menerima anugerah Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
WABILLAHI TAWFIQ WA DA’WAH WAL-IRSYAD











