AG. Prof. Dr. H. A. Syamsul Bahri AG., Lc. MA.
Alhamdulillah, membaca dan menghafal al-Qur’an adalah budaya masyarakat kita yang setentunya perlu kita pertahankan dan wariskan secara turun temurun agar tetap menjadi syiar keagamaan umat Islam di Negara ini.
Elemen terpenting dalam Negara ini ialah masyarakatnya hormat dan cinta kepada al-Qur’an, suka membaca al-Qur’an dan menjadikan al-Qur’an sebagai sumber keselamatan dunia dan akhirat.
Bagi memelihara budaya membaca al-Qur’an ini, maka ada beberapa perkara yang perlu mendapat perhatian serius, antaranya:
1-Umat Islam di Negara ini, terutama kaum muda perlu mempelajari bacaan al-Qur’an yang benar sesuai dengan ilmu qira’ah dan tajwid.
Di samping itu, bagi mereka yang memilliki suara yang elok hendaklah mereka belajar tarannum yang sesuai agar ianya boleh membaca dengan suara yang indah dan menarik mengkhusukkan.
2-Umat Islam perlu menghidupkan penghafazan al-Qur’an, bukan sahaja bagi pelajar yang sedang menuntut di ma’had tahfiz, tetapi juga disekolah-sekolah aliran ugama ataupun umum agar menghafaz al-Qur’an ini boleh menjadi budaya umat Islam di Negara Zikir ini.
3-Umat Islam perlu berusaha memahami isi kandungan al-Qur’an. Ia perlu difahami tafsirnya mengikut panduan ulama Ahli Sunnah Waljama’ah agar tidak tersasar dalam memahami isi kandungan al-Qur’an sebagai pedoman hidup.
Nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia yang difahami dari al-Qur’an perlu dipegang kuat-kuat demi keselamatan kita dunia dan akhirat.
4-Umat Islam perlu memberikan ajaran Islam yang tulen kepada masyarakat secara umumnya supaya mereka dapat memahami dan merasakan kebenaran yang dibawa oleh al-Qur’an.
Adalah menjadi tanggung jawab kita semua melestarikan nilai-nilai al-Qur’an dalam kehidupan kita sehingga jaminan Allah akan membukakan pintu rezki yang melimpah dilangit dan dibumi dapat kita perolehi dengan jayanya dan kelak dihari akhirat menjadi orang-orang yang selamat dan sejahtera.
Kita ingin masyarakat Islam dapat menjadi “khaira ummatin ukhrijat linnas” sebaik-baik umat Islam di dunia. Kita berhasrat Negara ini menjadi “buq’atun mubarakah” kawasan yang penuh berkah menjadi sebuah Negara yang disebut dalam al-Qur’an sebagai “ Baldatun tayyibah warabbun ghafuur”.










