AG. H. Mahmud Fasih meletakkan Madrasah Arabiah Bugisiah di Malaysia

0
453

Tuan Guru Haji Mahmud Fasih dilahirkan di Sulawesi Selatan, Indonesia.

Beliau adalah seorang ilmuan Islam yang karismatik, aktif berdakwah di kalangan masyarakat Bugis di kawasan Jambi, Riau, Kalimantan, Jakarta dan Johor sekitar tahun 1950-1970.

Beliau adalah pengasas sebenar Madrasah Arabiah Bugisiah, Tampok, Pontian, Johor sekitar tahun 1950.

Beliau adalah salah seorang tenaga penting dalam institusi pendidikan agama Islam di Sulawesi Selatan, Indonesia iaitu Darul Dakwah wal-Irsyad (DDI) yang ditubuhkan pada tahun 1947.

Sejak tahun 1950-an beliau banyak merantau untuk berdakwah, sementara isterinya yang bernama Ustazah Hajah Hafsah menjadi salah seorang guru agama di Institusi yang sama di Mangkoso dan seterusnya di Pare-pare, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Mereka berdua dikurniahkan empat orang anak lelaki, yang pertama Tuan Haji Arif mantan pegawai agama di Pare-pare, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Yang kedua Ustas As’ad yang masih berkhidmat sebagai guru agama.

Yang ketiga Abdul Rahman pernah mencuba untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar namun kembali ke tanah air selepas berada di Mesir beberapa bulan.

Sekarang ini bertugas sebagai pegawai tadbir di salah sebuah Universiti Islam di Pare-pare, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Dan yang keempat bernama Bahrun.

Salah satu kegiatan rutin Ulama di DDI ialah keluar ke kawasan desa-desa untuk menyampaikan ceramah agama terutamanya di bulan Ramadhan.

Kawasan yang terlibat bukan hanya yang berhampiran dengan Sulawesi, tetapi termasuk kawasan-kawasan yang jauh seperti Kalimantan, Jakarta, Jambi dan Riau bahkan Johor.

Ringkasnya di mana wujud masyarakat Bugis, disitulah destinasi yang akan dituju.

Antara hasil daripada kegiatan dakwah ini ialah membawa pulang bersama mereka beberapa remaja dari desa-desa untuk melanjutkan pengajian di Sulawesi Selatan yang memakan masa sampai 5-6 tahun.

Dan seterusnya ada di kalangan mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di Timur Tengah terutamanya Mesir dan Madinah seperti yang berlaku kepada penulis sendiri.

Memandangkan Riau dan Johor adalah dua kawasan yang agak berhampiran di mana terdapat masyarakat Bugis.

Maka Tuan Haji Mahmud selalu datang ke Johor melalui laut untuk menyampaikan ajaran agama Islam di kalangan masyarakat Bugis di Pontian, Johor.

Bermula daripada kegiatan agamanya inilah sehingga sebuah sekolah agama didirikan pada tahun 1950 yang dikenali sekarang sebagai “Madrasah Arabiah Bugisiah”.

Yang telah dinaiktaraf beberapa kali terutamanya dari segi bangunan dan system penbelajaran untuk memenuhi keperluan semasa.

Barangkali sejak tahun 1950 hingga sekarang tidak ada seorang pun pelajar dari Pontian yang melanjutkan pengajian di Sulawesi dalam bidang agama.

Namun beberapa pelajar dari keturunan Bugis dari Sabah sedang melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Sengkang, Sulawesi Selatan.

Memandangkan jarak antara Sabah dan Sulawesi agak dekat.

Tidak dapat dipastikan berapa kali Tuan Haji Mahmud Fasih datang ke Pontian, Johor, sehingga sebuah Madrasah dapat didirikan.

Yang pasti satu perbincangan yang mantap antara beliau dengan masyarakat Bugis di Pontian telah dijalankan sehingga suatu keputusan yang muktamar dapat dicapai untuk menumbuhkan sebuah sekolah agama yang pertama di kalangan masyarakat Bugis di Johor.

Berkat daripada beberapa kali lawatan tersebut, sebuah sekolah agama telah berjaya menyumbangkan satu kemudahan yang berterusan hingga ke hari ini dalam menyediakan peluang untuk mendalami bidang pendidikan Islam terutamanya kepada anak-anak masyarakat Bugis di sekitar daerah Pontian, Johor.

Disadur dari tulisan Prof. Muhammad Yusuf Khalid